‘Game of Thrones Malaysia – apakah adegan seterusnya?

Permainan perebutan kuasa Game of Thrones adegan seterus

[Artikel ini diterbitkan pada 27 Feb 2020]

Malaysia kini masih berada dalam keadaan yang tidak stabil. Pakatan yang menerajui telah dimusnahkan melalui pengkhianatan. Bolehkah kerajaan gabungan dibentuk? Jika ya, adakah ia akan bertahan? Jika tidak, adakah Malaysia akan terpaksa menghadapi pilihanraya segera? Perasaan takut dan ketidakpastian mula menyelubungi negara dan rakyat.

Apakah adegan seterusnya dalam ‘Game of Thrones’  Malaysia?

Malaysia masih dalam keadaan tidak stabil sementara drama politik negara terungkap.

Dalam pergerakan sejarah pada Mei 2018,  rakyat Malaysia  telah  menyingkirkan parti Barisan Nasional (“BN”) yang dicemari dengan tuduhan-tuduhan kleptokrasi tahap antarabangsa , dan mengundi bagi memilih Pakatan Harapan.

Walaubagaimanapun pakatan pemerintah yang baru telah menjadi mangsa pengkhianatan dan pembelotan  semenjak 21.02.2020 dan terus menjejaskan jiwa rakyat dengan  pelbagai jenis perubahan plot yang mendadak  setiap hari.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (“PM”) meletak jawatan beliau sebagai PM pada 24.02.2020. Atas permintaan beliau, DYMM Yang di-Pertuan Agong (“YDPA”) telah melantik beliau sebagai PM interim. Oleh sebab itu, Tun Dr Mahathir kehilangan semua kuasa eksekutif yang dipegang beliau sebelum ini di mana tugas PM interim adalah terhad dan  dikenali sebagai “Caretaker PM.”

Dalam satu langkah baru yang tidak dijangkakan, DYMM YDPA bermula mengadakan sesi temu bual dengan setiap Ahli Parlimen secara peribadi. Perkara ini adalah untuk mengetahui dan menentukan pendirian setiap Ahli Parlimen.

Rakyat Malaysia dibelenggui pelbagai persoalan:

(1):  Bolehkah kerajaan gabungan dibentuk?

(2):  Adakah ia akan bertahan sehingga pilihan raya seterusnya?

(3):  Atau adakah Rakyat Malaysia akan dipaksa untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya snap poll yang mengejut dan menelan kos yang tinggi?

(4):  Pendangan ditumpukan kepada DYMM YDPA.

Apakah yang akan dilakukan oleh Baginda? Apakah yang boleh dilakukan oleh Baginda?

Malam Tikaman Pengkhianatan…

Kekukuhan sesuatu gabungan mana-mana parti bergantung kepada  keutuhan tulang belakang yang menerajuinya – kepercayaan dan niat suci.

Beberapa minggu sebelum bulan Februari, terdapat khabar angin berkenaan ancaman pengeluaran sekumpulan Ahli Parlimen.

Pakatan Pemerintah dan pemimpinnya tidak mengambil berat khabar angin tersebut.

Pada hujung minggu 21 Februari, 12 Ahli Parlimen Pakatan Pemerintah keluar dari pakatan tersebut.

Langkah tersebut, yang telah dirancang awal dan dilaksanakan, mencapai objektif yang dihasratkan: pakatan pemerintah telah tumbang.

Apakah perkaitan Tun Dr Mahathir dengan bencana yang menimpa negara adalah subjek perdebatan nasional.

Rakyat bersemangat untuk menyiasat tuntutan bahawa pembelotan pada Malam Pengkhianatan hanya sebahagian daripada plot sebenarnya.

Ia adalah satu pelan yang di buat dengan perancangan yang teliti dan dilaksanakan secara tepat.

Apakah Kesan Undang-Undang Dan Politik Akibat Isu-Isu Ini?

Dilema Perlembagaan

Apabila Tun Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau mempunyai sokongan Kabinet penuh. Tetapi beliau tidak menasihati DYMM YDPA untuk membubarkan Parlimen.

Perkara ini mempunyai kesan undang-undang yang serius.

Pengabaian Dan Keadaan Buntu

Akibat daripada,  Parlimen yang terdiri daripada 222 ahli wujud dalam tiga kumpulan MP yang berbeza.

Pada setiap jam retakan ini berubah bentuk.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 92 orang Ahli Parlimen daripada pelbagai latar belakang dan etnik berdiri bersama Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri yang menunggu bagi tempoh masa yang paling lama dalam sejarah.

Kumpulan Anwar Ibrahim masih kekurangan 20 Ahli Parlimen untuk memperolehi majoriti mudah 112.

‘Pakatan Harapan’ Anwar Ibrahim terdiri daripada parti-parti daripada pelbagai kumpulan etnik.

Dalam dua tahun yang lalu, Pakatan Harapan yang membentuk asas kerajaan, bermula sebagai satu unit yang baru dan belum berpengalaman.

Semakin lama, unit tersebut menubuhkan asas yang kukuh, menimba pengalaman dan khususnya menerima kepercayaan.

Jika tidak kerana pengkhianatan yang berlaku, Tun Mahathir telah memimpin kerajaan dengan efisien.

Dalam blok kedua adalah Tun Mahathir dengan  62 orang Ahli Parlimen bersama beliau.

Beliau ingin membentuk sebuah ‘Kerajaan Perpaduan’  di mana beliau akan memilih, dan dijangkakan akan mengawal kerajaan tersebut secara mutlak.

Yang ketiga adalah kumpulan seramai 68 Ahli Parlimen.

Mereka tergolong dalam rejim lama yang ditolak secara besar-besaran pada pilihanraya 2018  selepas lebih enam dekad berkuasa.

Tun Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim akan dijangkakan teragak-agak untuk bekerjasama dengan kumpulan tersebut kerana takut akan menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

Sekarang hanya terdapat satu pilihan untuk bergerak ke hadapan:  kedua-dua Tun Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim perlu bekerjasama.

Krisis perlembagaan

Negara ini kini berada dalam keadaan krisis perlembagaan yang tidak pernah dilihat dalam sejarah 63 tahun.

BEBERAPA SENARIO MUNCUL

Parlimen tidak berada dalam sesi bersidang buat masa ini.

Sesi ketiga Parlimen ke-14 bermula pada 9 Mac dan berakhir pada 16 April 2020.

Percubaan Tun Dr Mahathir untuk memanggil persidangan Parlimen awal gagal apabila Yang Dipertua Speaker Parlimen menolak panggilan persidangan tersebut. DYMM YDPA mengesahkan kedudukan Yang Di-Pertua Speaker.

Bahagian Pertama Persidangan Ketiga Parlimen Akan Berlangsung Selama 24 Hari

24 hari tersebut akan memainkan peranan penting dalam sejarah perlembagaan negara.

Kami menerangkan senario- senario yang mungkin berlaku :-

Senario-1

Antara sekarang dan 9 Mac, beberapa perkara boleh berlaku.

Mana-mana satu daripada tiga kumpulan ini boleh membentuk satu gabungan. Keperluan gabungan adalah majoriti ringkas iaitu sebanyak 112 Ahli Parlimen.

Sebaik sahaja memperolehi bilangan yang mencukupi, pemimpin baru parti gabungan tersebut akan mengadap  DYMM YDPA.

Beliau akan menasihati YDPA bahawa beliau mempunyai undi percaya majoriti Dewan Rakyat [Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan].

Jika beliau meyakinkan YDPA bahawa tuntutan beliau adalah berkemugnkinan – dan melainkan jika pemimpin tersebut  adalah Tun Mahathir sendiri – DYMM YDPA akan memanggil untuk perletakkan jawatan PM sementara dan kemudiannya akan melantik pemimpin gabungan itu sebagai PM yang baru.

Perdana Menteri yang baru akan memberi nasihat kepada YDPA untuk membentuk Kabinet baru daripada kalangan penyokong beliau.

Senario-2

Gabungan parti yang baru diwujudkan boleh dibentuk tetapi mesti bertahan, sekurang-kurangnya hingga 9 Mac, apabila Parlimen bersidang  semula.

Jika ahli-ahli parti gabungan tersebut juga menjadi mangsa umpanan satu lagi kumpulan gabungan yang mungkin,  maka pakatan ini juga akan gagal.

Dan negara akan kembali ke situasi yang sama.

Senario-3

Selepas parlimen bersidang semula pada 9 Mac, Ahli-ahli Pembangkang, yang mengedari bahawa mereka telah berjaya menyebabkan pengabaian tersebut, boleh membawa undi tidak percaya terhadap perdana menteri dan Pakatan beliau.

Jika mereka berjaya, bakal PM bersama-sama kabinet beliau mesti meletakkan jawatan.

Sekiranya perkara ini berlaku, dan sekiranya parti-parti pembangkang tidak dapat bergabung untuk membentuk satu pakatan baru, maka Pemimpin Pakatan Kedua boleh mengadap YDPA.

Beliau kemudian akan melalui proses yang sama seperti di Senario-1.

Senario-4

Jika Perdana Menteri Parti Pakatan baru dapat mengalahkan Undi Tidak Percaya, Parti Gabungan dapat berterusan sehingga pilihan raya akan datang atau Pakatan tersebut mungkin perlu menghadapi kesan Senario-5.

Senario-5

Di bawah senario ini, salah satu daripada beberapa perkara di bawah mungkin berlaku.

Katakan bakal PM itu berada dalam ketidakupayaan menjalankan tugas, meletakkan jawatan atau meninggal dunia, Pakatan Baru tersebut harus menunjukkan bahawa pakatan tersebut boleh mengekalkan sokongan 112 Ahli Parlimen.

Pakatan tersebut juga harus mencadangkan kepada DYMM YDPA nama pemimpin yang dapat menunjukkan kepada Baginda bahawa beliau memberi keyakinan majoriti Ahli Parlimen.

Jika tidak, Pakatan tersebut akan runtuh.

Ia sama ada akan dicabar oleh Pakatan Pembangkang, atau ia perlu berhadapan dengan Undi Tidak Percaya di Parlimen.

Sekiranya peristiwa yang melemahkan ini tidak berlaku, Pakatan ini  akan tetap menghadapi bahaya pengabaian.

Itu akan menjejaskan keupayaannya untuk mengekalkan majoritinya.

Jika ya, ia bermula sekali lagi. Kesan senario di atas akan berlaku.

Senario-6

Secara konvensyen, bakal PM yang baru harus memilih masa yang sesuai untuk memilih masa pilihanraya.

Beliau harus ‘menasihati’ DYMM YDPA berkenaan perkara tersebut.

HALANGAN DARI SEGI PERLEMBAGAAN

Walaubagaimanapun terdapat halangan-halangan daripada segi perlembagaan yang harus diharungi oleh PM.

Secara amnya, YDPA tidak mempunyai pilihan melainkan menuruti nasihat Perdana Menteri yang mempunyai kuasa Kabinet: [Perkara 40(1) dibaca dengan (1A) Perlembagaan Persekutuan].

Terdapat pandangan yang lazim (yang salah) bahawa  DYMM YDPA diwajibkan mematuhi setiap nasihat perdana menteri. Perkara ini tidak tepat.

Terdapat dua prasyarat yang mesti wujud sebelum  DYMM YDPA  mematuhi nasihat PM. Yang pertama adalah bahawa hanya Perdana Menteri bertindak di bawah ‘kuasa umum Kabinet’  yang boleh menasihati  DYMM YDPA: [Perkara 40(1)].

Tun Dr Mahathir sebagai seorang PM Sementara tidak mempunyai kabinet dan/atau kuasa eksekutif.

Oleh itu, Tun Dr Mahathir tidak mempunyai kuasa untuk memberi nasihat kepada YDPA untuk membubarkan Parlimen.

Prasyarat kedua terdapat dalam Perkara 40(2)(b)

Di mana jika  terdapat permintaan untuk pembubaran Parlimen, Perlembagaan Persekutuan membenarkan YDPA untuk bertindak mengikut budi bicara Baginda.

Perlembagaan Persekutuan tidak mengatakan siapa yang harus membuat permintaan ini.

Ini seolah-olah bertentangan dengan Perkara 40, yang mengatakan bahawa YDPA harus menuruti permintaan PM : [Perkara 40(1) dan (1A)] Perlembagaan Persekutuan.

Itu mudah dijelaskan: “permintaan” dari PM – atau orang lain – tidak sama dengan perkataan “nasihat.” Kedua – dua perkataan ini membawa maksud  berbeza.

Bahawa DYMM YDPA boleh bertindak terhadap ‘permintaan’ itu dinyatakan semula dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Jika Perdana Menteri tidak lagi mempunyai keyakinan majoriti Ahli Parlimen, beliau boleh ‘meminta’ DYMM YDPA untuk membubarkan Parlimen.

Jika DYMM YDPA bersetuju, Parlimen boleh dibubarkan.

Jika DYMM YDPA tidak bersetuju, Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menghendaki PM meletak jawatannya dan kabinetnya.

Bekas Perdana Menteri akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri Interim, sementara menunggu pembentukan Pakatan baru dari kumpulan pembangkang.

Hanya apabila DYMM YDPA yakin bahawa mana-mana kerajaan gabungan lain tidak dapat dibentuk, baru DYMM YDPA boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

Kuasa ini boleh didapati dalam Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Ia menyatakan bahawa DYMM YDPA  boleh membubarkan Parlimen.

Sekiranya satu perkataan dalam Akta Parlimen biasa merujuk kepada kuasa yang dipegang oleh seseorang (contohnya kuasa seorang hakim untuk menolak sesebuah kes) perkataan ‘boleh’, merujuk kepada budibicara.

“Budi Bicara” bermaksud kuasa untuk membuat keputusan, sama ada memilih atau menolak untuk melakukannya – atau yang penting, memilih untuk menunggu.

Dalam menafsir Perlembagaan, mahkamah tidak terikat kepada maksud literal perkataan yang digunakan.

Pendekatan yang lebih fleksibel digunakan dalam pentafsiran sesuatu perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana Perlembagaan Persekutuan merupakan satu dokumen yang hidup – sesuatu yang organik.

Hakim-hakim secara lazimnya cuba melihat intipati di sebalik sesuatu undang-undang; mereka tidak akan terikat kepada hujahan yang terlalu berunsur undang-undang yang digunakan bagi tafsiran Akta Parlimen biasa.

Oleh itu, jika kita mempertimbangkan perkara-perkara di atas, kuasa Perlembagaan DYMM YDPA tidak mempunyai batasan.

Dilema Perlembagaan

DYMM YDPA berada dalam dilema. Baginda diberi pandangan undang-undang yang bercanggah dan berbeza.

Satu kumpulan mengatakan DYMM YDPA hanya boleh membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri. Perkara ini tidak tepat sepenuhnya.

Kita telah melihat bagaimana seorang Perdana Menteri sementara tidak ‘bertindak di bawah kuasa umum Kabinet’, di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri interim.

Beliau belum lagi melaksanakan hak/kuasa beliau untuk membentuk Kabinet.

Tun Mahathir tidak mempunyai sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen bersama beliau, maka tidak boleh membentuk Kabinetnya.

Pandangan kedua adalah bahawa walaupun tiada pakatan yang memerintah, atau kabinet, DYMM YDPA masih boleh membubarkan Parlimen.

Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan hanya memerlukan seseorang untuk meminta pembubaran Parlimen.

Sesetengah peguam berpendapat bahawa ‘permintaan’ ini mesti datang daripada Perdana Menteri. Pandangan ini juga konsisten dengan konvensyen.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Perlembagaan tidak menetapkan siapa yang harus membuat permintaan ini.

Cuba pertimbangkan : sekiranya,  atas sebab tertentu, PM kini tidak mempunyai keupayaan.

Sekiranya tiada Kabinet -sepertimana keadaan kini.

Sekiranya  tidak ada pakatan pemerintah dibentuk – sepertimana wujud sepanjang minggu yang lalu.

Dalam keadaan demikian, DYMM YDPA  pada pandangan saya boleh menjalankan kuasa Baginda  di bawah Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Baginda  boleh memanggil untuk pilihan raya.  Beliau tidak perlu menunggu untuk permintaan sesiapa.

Apa Yang Akan Berlaku Selepas Ini?

Rakyat yang berjaya menggulingkan rejim kleptokrat yang berusia 61 tahun, berada dalam keadaan cemas dan marah.

Sehingga masa tiba untuk kem bertentangan menubuhkan satu kerajaan yang kukuh dan adil – dan mengelakkan migrasi ahli-ahlinya ke kem bertentangan, negara ini tidak akan berada dalam keadaan yang stabil.

Mesej-mesej mengelirukan di media sosial yang berterusan yang menyatakan bahawa mana-mana kumpulan telah memperolehi majoriti hanya akan menimbulkan kemarahan rakyat.

Walaupun majoriti sedemikian dapat dicapai, perhatian akan beralih pada Ahli Parlimen mereka.

Rakyat  akan mengkaji siapa yang menjadi mangsa umpanan migrasi parti. Ia kelihatan jauh lebih berbahaya daripada virus Covid 19.

Akhirnya, apabila pilihan raya umum dipanggil semula, rakyat akan mengundi dengan mengimbas kesemua perkara yang berlaku kini.

Dan tarikh untuk Pilihan Raya tersebut itu tidak terlalu jauh.

 

 

[Diterjemahkan oleh Puan KN Geetha dan Encik Thayalan Moorthy.]

 

 

You May Also Like

Apa yang akan berlaku jika Perdana Menteri tidak berupaya menjalankan tugas?

Siapa yang mempunyai kuasa untuk mengarahkan agar  Parlimen dibuka semula?

Bolehkah badan pengurusan kondo melarang penghuninya dari masuk rumahnya jika mengesyaki dia dijangkiti Kovid-19?

Kejatuhan era kebebasan Kehakiman melalui pemecatan Hakim terulung