Wajibkah cendekiawan Malaysia bersuara apabila kuasa membengkokkan undang-undang?

Seorang ahli falsafah pernah membenarkan pembunuhan. Seorang canselor pernah menggelar rusa sebagai kuda. Apa tugas cendekiawan kita?

Pada 1967, Noam Chomsky menulis: menjadi tanggungjawab golongan cendekiawan untuk menyatakan kebenaran dan mendedahkan pembohongan.1Noam Chomsky, “The Responsibility of Intellectuals”, The New York Review of Books, 23 Februari 1967.

Kebenaran mudah ini macam tali pinggang keledar. Semua orang setuju, tetapi jarang dipakai sehingga berlaku kemalangan.

Orang berilmu ada masa, latihan dan pembesar suara. Kebanyakan orang hanya ada pinjaman perumahan. Maka orang berilmu berhutang lebih.

Adakah hutang itu terpikul di bahu cendekiawan kita: profesor, ahli ekonomi, doktor, wartawan, ilmuwan agama, dan peguam? Dan bagaimana mereka bercakap benar tentang 3R, iaitu kaum, agama dan Raja, lalu masih sempat pulang makan malam?

Di Britain, 3R bermaksud membaca, menulis dan mengira. 3R kita lebih sukar lulus.

Ramai menyangka undang-undang tentang 3R ialah tembok. Sebenarnya tidak sepenuhnya. Parlimen memasang pintu pada tembok itu, dan hampir tiada siapa perasan. Kita akan sampai ke pintu itu. Tetapi dahulu, kisah mereka yang melaluinya, dan mereka yang berpaling.

NAMA LAMA, PENGKHIANATAN LAMA

Pada 1927, Julien Benda menamakannya La Trahison des Clercs, pengkhianatan golongan cendekiawan.2Julien Benda, La Trahison des Clercs (Grasset, 1927).

Clerc dalam bahasa Perancis bermaksud kerani, dan dahulunya juga paderi: orang yang tahu membaca ketika ramai yang buta huruf. Benda menggunakannya untuk semua yang hidup dengan akal. Dalam rencana ini, clerc bermaksud cendekiawan: profesor, hakim, doktor, wartawan, ilmuwan agama. Golongan ini sepatutnya menjaga kebenaran milik semua. Tetapi ramai yang bertukar majikan. Majikan baharu membayar lebih, dan bertanya kurang.

Konsep ini paling mudah difahami melalui kisah.

APA YANG ORANG DAHULU TAHU

Athens, 404 SM

Tiga Puluh Penguasa menyuruh lima orang warga menangkap Leon dari Salamis untuk dihukum mati. Tujuannya, kata Plato, supaya seramai mungkin terpalit dengan jenayah mereka.3Plato, Apology 32c–d.

Empat orang pergi ke Salamis. Socrates pulang ke rumah.

Kezaliman tidak memerlukan bantuan semua orang. Ia memerlukan cap jari semua orang.

Tetapi perhatikan apa yang Socrates tidak lakukan. Dia tidak memberi amaran kepada Leon. Dia tidak membantah di khalayak. Dia pulang, barangkali untuk makan malam. Leon ditangkap oleh empat yang lain, dan dihukum mati seperti dijadualkan.

Pulang ke rumah menjaga tangan ahli falsafah itu bersih. Ia tidak menyelamatkan leher Leon. Hati nurani yang bersih rupanya kemewahan yang sangat peribadi.

China, 207 SM

Canselor Zhao Gao membawa seekor rusa ke istana dan berkata itu seekor kuda. Ada menteri yang diam. Ada yang berkata kuda. Yang berkata rusa, kemudian dihadapkan ke muka undang-undang.4Sima Qian, Shiji.

Kuasa bukan sekadar meminta orang pandai berbohong. Ia mahu pembohongan itu dibuat di khalayak, supaya kelihatan siapa yang sanggup.

Rom, 59 M

Nero membunuh ibunya. Senat menerima sepucuk surat yang indah bahasanya, menjelaskan bahawa si ibu berkomplot. Penulisnya, kata Tacitus, ialah Seneca, ahli falsafah dan guru Nero sendiri.5Tacitus, Annals XIV.10–11. Enam tahun kemudian, Nero menyuruh Seneca mati. Bahasa yang indah rupanya bukan pencen.

PEWARIS MODEN

Pada 1934, Carl Schmitt, pakar undang-undang paling terkenal di Jerman, menulis bahawa “Führer melindungi undang-undang”, selepas Hitler membunuh lawan-lawannya tanpa bicara.6Carl Schmitt, “Der Führer schützt das Recht”, Deutsche Juristen-Zeitung, 1 Ogos 1934.

Pada 1958, Ketua Hakim Pakistan, Muhammad Munir, meminjam teori Hans Kelsen untuk mengesahkan rampasan kuasa.7The State v Dosso PLD 1958 SC 533. Kelsen menulis huraian; Munir membacanya sebagai resipi. Jeneral-jeneral kemudian mendapati ‘keperluan’ itu sangat kerap berulang.

Pada 1976, empat daripada lima hakim India dalam kes ADM Jabalpur memutuskan tahanan darurat tidak boleh ke mahkamah, walaupun untuk hak nyawanya.8Additional District Magistrate, Jabalpur v Shivkant Shukla AIR 1976 SC 1207.

Hakim H R Khanna berdiri sendirian, dan dia tahu apa yang dilakukannya. Dalam penghakimannya, dia meminjam kata-kata Ketua Hakim Amerika Syarikat, Charles Evans Hughes: pendapat yang berbeza ialah rayuan kepada kecerdasan hari esok.9Additional District Magistrate, Jabalpur v Shivkant Shukla AIR 1976 SC 1207, Khanna J (menentang), memetik Charles Evans Hughes, The Supreme Court of the United States (1928).

Hari ini membalas dengan segera: pada Januari 1977 dia dilangkau untuk jawatan Ketua Hakim Negara, lalu meletak jawatan pada hari yang sama. Hari esok itu tiba empat puluh satu tahun kemudian.

Pada 24 Ogos 2017, sembilan hakim dalam kes Puttaswamy membatalkan keputusan majoriti itu dengan nyata. Penghakiman utama ditulis oleh Hakim D Y Chandrachud, dan antara hakim yang keputusannya dibatalkan ialah bapanya sendiri.

Kebanyakan anak menyelesaikan perbezaan pendapat dengan bapa di meja makan. Yang ini melakukannya dalam laporan undang-undang.10Justice KS Puttaswamy (Retd) v Union of India AIR 2017 SC 4161. Peguam muda, bacalah pendapat Khanna di sebelah pendapat majoriti.

Socrates pulang dengan diam. Khanna pulang setelah meletakkan kebenaran dalam rekod, menunggu mahkamah mengejarnya. Itulah beza antara hati nurani yang bersih dengan hati nurani yang berguna.

KISAH POLAND

Anne Applebaum, ahli sejarah kelahiran Amerika yang menjadi warganegara Poland, menceritakannya.11Anne Applebaum, Twilight of Democracy (Doubleday, 2020).

Di bawah komunisme, pekerja, paderi dan cendekiawan Poland bersatu dalam Solidarity. Mereka dipenjara, dan terus menulis. Pada 4 Jun 1989, selepas rundingan Meja Bulat, Solidarity memenangi hampir semua kerusi yang dipertandingkan.12Institute of National Remembrance (IPN), “The elections of 4 June 1989”. Revolusi itu dimenangi melalui peti undi.

Pada malam akhir 1999, Applebaum dan suaminya mengadakan jamuan. Semua tetamu percaya kepada demokrasi.

Pada 2010, Presiden Lech Kaczyński terkorban dalam nahas pesawat di Smolensk. Partinya, Law and Justice, bertahun-tahun membayangkan ia bukan kemalangan. Applebaum menggelarnya “pembohongan bersaiz sederhana”. Itulah rusa Zhao Gao, berpakaian Eropah.

Selepas 2015, parti itu menyerang mahkamah perlembagaan dan memenuhi badan kehakiman dengan orang setia. Sebahagian tetamu 1999 ikut serta: seorang menjadi penasihat parti; seorang lagi, bekas pejuang anti-komunis, mengetuai televisyen kerajaan sebagai corong parti. Sebabnya bukan ideologi, tetapi kecewa, dendam dan lapar akan kerusi.

Pada 2021, Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah memutuskan sistem tatatertib hakim Poland melanggar undang-undang Eropah.13Commission v Poland (Case C-791/19) EU:C:2021:596. Namun Poland tidak menjadi diktator. Pada Oktober 2023, rakyat mengundi parti itu keluar.14Aleks Szczerbiak, UI Brief No 8 (2023).

Kerajaan boleh diundi keluar. Cendekiawan hanya diundi keliling.

DI TANAH AIR KITA

Godaan Munir ada di mana-mana, dan bukan pada peguam sahaja: pakar dalam apa jua bidang yang membaca Perlembagaan, statistik atau kitab seperti orang lapar membaca menu, hanya mencari apa yang diidamkannya.

Yang dipersoalkan di sini bukan agama, bukan kaum, dan bukan Raja-Raja. Ketiga-tiganya dimuliakan oleh Perlembagaan sendiri. Yang dipersoalkan ialah caranya: jawapan dahulu, Perkara kemudian.

Malaysia juga ada Socrates, dalam erti yang lemah. Mereka enggan menangkap Leon. Mereka juga enggan menyebut namanya.

Kita kenal mereka. Profesor yang keberaniannya bermula pada hari pencennya terjamin. Penulis yang berani dalam kumpulan WhatsApp tetapi senyap dalam akhbar. Orang alim yang bersetuju dengan setiap kata kritikan kita, secara peribadi, sambil minum teh tarik, lalu meminta kita jangan memetik namanya.

Mereka sudah pulang. Mereka mahu dipuji kerananya.

Ujiannya mudah. Tunjukkan perkataannya. Perkara 4(1) menjadikan Perlembagaan undang-undang utama Persekutuan.15Perlembagaan Persekutuan, Perkara 4(1).

Minggu ini, seorang bekas hakim yang dihormati menulis bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membawa keseimbangan kepada Perlembagaan. Pandangan itu ada sandarannya: sesetengah pindaan memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja.16Perlembagaan Persekutuan, Perkara 159(5). Ujiannya sama bagi yang memuji dan yang mengkritik.

Bagi kebanyakan cendekiawan, undang-undang tidak mewajibkan mereka bersuara. Kewajipan itu ialah kewajipan Socrates: tiada akta yang menulisnya, dan tiada akta yang boleh memansuhkannya. Hanya Akta Profesion Undang-Undang 1976 menghendaki Badan Peguam menegakkan keadilan tanpa takut atau pilih kasih.17Akta Profesion Undang-Undang 1976, seksyen 42(1)(a). *PINTU PADA PAGAR*

Akta Hasutan 1948 memagari percakapan tentang Raja dan Kerajaan.18Akta Hasutan 1948, seksyen 3(1)(a) dan 4(1).

Tetapi seksyen 3(2) memasang pintu. Sesuatu itu tidak menghasut semata-mata kerana ia menunjukkan Raja telah tersilap atau dikelirukan dalam sesuatu langkahnya; atau menunjukkan kesilapan dalam Kerajaan, Perlembagaan, undang-undang atau pentadbiran keadilan, dengan tujuan membetulkannya; atau memujuk rakyat mencari perubahan secara sah; atau menunjukkan, dengan tujuan menghapuskannya, perkara yang menimbulkan rasa permusuhan antara kaum.19Akta Hasutan 1948, seksyen 3(2)(a), (b) dan (c).

Pintu terakhir itu paling penting bagi 3R. Undang-undang tidak melarang cendekiawan menamakan apa yang memecahbelahkan kita. Ia melindunginya apabila dia menamakannya untuk mengubati.

Namun, demi kejujuran, pintu itu juga berpagar. Akta itu melarang mempersoalkan perkara yang dilindungi oleh Bahagian III dan Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan: kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, serta kedaulatan Raja-Raja.20Akta Hasutan 1948, seksyen 3(1)(f), dan pengecualian dalam seksyen 3(2)(b) dan (c).

Tetapi pagar itu pun berengsel. Larangan itu tidak meliputi teguran “berhubung dengan pelaksanaan” peruntukan tersebut.21Akta Hasutan 1948, seksyen 3(2)(b). Pada pandangan yang lebih baik: kita tidak boleh mempersoalkan sama ada hak itu wujud, tetapi kita boleh menunjukkan, dengan tujuan membetulkannya, bahawa ia dilaksanakan dengan buruk.

Mahkamah Persekutuan sendiri bersandar pada pintu ini. Pada 2015, ketika mengekalkan Akta itu, mahkamah berkata kesalahan hasutan bukan larangan menyeluruh, kerana tertakluk kepada pengecualian dalam seksyen 3(2).22Public Prosecutor v Azmi Sharom [2015] 8 CLJ 921 (FC), [43]–[44].

Maknanya, pintu itulah yang menjadikan tembok itu sah. Tembok yang sah hanya kerana ada pintunya tidak wajar merungut apabila orang menggunakannya.

Pintunya sempit, dan sungai di bawahnya penuh buaya.

Setiap anak Malaysia tahu bagaimana Sang Kancil menyeberangi sungai sebegitu. Dia tidak melawan buaya, dan dia tidak berenang. Dia mengumumkan banci, menyuruh buaya berbaris dari tebing ke tebing, lalu melompat di atas belakang mereka sambil mengira, satu, dua, tiga, hingga dia selamat di seberang.

Buaya-buaya itu, barangkali, masih mengira.

Parlimen memasang pintu itu. Pintu dibina untuk digunakan.

Setiap zaman menawarkan menu yang sama kepada cendekiawan: tulis surat Seneca; sebut “kuda”; pulang dengan diam; atau sebut “rusa”, dengan lantang, dan dalam rekod. Tiga yang pertama popular. Ia datang bersama jawatan, gelaran dan kerusi di meja. Yang keempat datang bersama buaya.

Bagai melukut di tepi gantang, masuk tidak menambah, keluar tidak mengurang. Cendekiawan yang diam hanya menjadi melukut.

Kerana diam juga satu pendapat. Cuma itulah pendapat yang paling disukai kuasa.

 

∞§∞

 

Penghargaan

Terima kasih, pertama sekali, kepada Encik UK Menon, bekas profesor undang-undang, yang bacaannya memberi ruang lebih kepada inti Malaysia rencana ini; dan kepada sahabat saya, Ravanthran Applasamy, atas perbualan yang mempertajam rencana ini.

∞§∞

Rencana ini untuk makluman umum sahaja, bukan nasihat guaman atau teknikal. Dapatkan nasihat guaman yang bebas apabila perlu.

Terima kasih kepada KN Geetha, TP Vaani, JN Lheela dan Lydia Jaynthi dari GK Legal, dan James Wainscoat dari Unsplash atas gambar.

Claude membantu penulisan; Perplexity Pro menyemak fakta. Segala pandangan dan kesilapan adalah tanggungjawab penulis.

© GK Ganesan Kasinathan. Hak cipta terpelihara. Semua kandungan laman ini dilindungi hak cipta. Tiada penerbitan semula atau penggunaan tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu: gk@gkganesan.com.

You May Also Like

Bolehkah Kuasa Pengampunan Diraja Berdiri di Luar Undang-Undang? [BM-3/PB]

Can the King’s power of mercy stand beyond the reach of the law? [3/PB]

Must Malaysia’s intellectuals speak up when power bends the law?

MB NS: Sokongan siapa yang dikira: parti atau ahli? [BM-32/NS]