Adakah perlu peguam negara merupakan seorang melayu atau muslim? Adakah beliau harus memberi nasihat berkenaan undang-undang syariah?

Artikel asal oleh: GK Ganesan Kasinathan; Penyunting: KN Geetha Terjemahan oleh  Alumni Fakulti Undang-Undang, UKM:- Nur Fazreen Khalid, Nur Aimi Binti Che Soh Malathi Mohan Wan Aimi Shamimi Binti Abdullah Vrnda Sre  Nagindera Rao Cadangan pelantikan Peguam Negara yang baru telah menimbulkan kekeliruan dan salah tafsir di kalangan masyarakat khususnya mengenai peruntukkannya dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita […]

Artikel asal oleh: GK Ganesan Kasinathan; Penyunting: KN Geetha

Terjemahan oleh  Alumni Fakulti Undang-Undang, UKM:-

Nur Fazreen Khalid,

Nur Aimi Binti Che Soh

Malathi Mohan

Wan Aimi Shamimi Binti Abdullah

Vrnda Sre  Nagindera Rao

Cadangan pelantikan Peguam Negara yang baru telah menimbulkan kekeliruan dan salah tafsir di kalangan masyarakat khususnya mengenai peruntukkannya dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kita harus mengenalpasti isu yang dipertikaikan.

Wujud perdebatan di kalangan rakyat mengenai siapa yang layak menjadi Peguam Negara selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Timbul persoalan sama ada Tommy Thomas layak sebagai Peguam Negara selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dua idea berkonflik

Sama ada pelantikan Tommy Thomas dianggap tidak selaras dengan Perlembangaan Persekutuan diperdebatkan oleh sebahagian rakyat kerana terdapat 3 pendapat oleh rakyat seperti berikut: –

(a)     seorang Peguam Negara tidak semestinya mempunyai kualiti sebagai Melayu atau Islam; atau

(b)     seorang Peguam Negara mestilah Melayu dan beragama Islam supaya boleh menjadi penasihat kepada pihak istana mengenai hal ehwal syariah; atau

(c)       seorang hakim, atau Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Persekutuan sepatutnya dilantik menjadi Peguam Negara.

Perdebatan ini langsung tidak berasas.  Sebenarnyam Perlembagaan Persekutuan menyatakan sebaliknya.

Rakyat harus mempunyai kebolehan untuk melakukan tafsiran Perlembagaan Persekutuan

Rakyat harus mengambil bahagian dalam debat ini. Rakyat seharusnya melihat Perlembangan Persekutuan secara menyeluruh dengan membuka ruang kepada interpretasi dengan mengkaji setiap kata dan fasal dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengelakkan kekeliruan dan salah tafsiran. Perlembagaan Persekutuan merupakan dokumen yang menentukan hubungan di antara negara dan rakyat, pemerintah dan rakyat. Oleh itu,  rakyat harusnya memahami intipati  Perlembagaan Persekutuan dengan meneliti setiap satu fasal yang termaktub seperti mengkaji Al-Quran supaya mereka mendapat kefahaman dan penyelesaian yang jelas tanpa bergantung kepada  Peguam .

Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan merupakan peruntukkan dan titik permulaan terpenting mengenai pelantikan Peguam Negara.

Jawapan kepada tuntutan bahawa Peguam Negara harus memberi nasihat berkenaan undang-undang Syariah

Perkara 145 harus difahami bagi mengelakkan kekeliruan dan salah anggapan bahawa Peguam Negara harus menasihati Yang Di-Pertuan Agong mengenai hal ehwal syariah. Keadaan ini menghalang Tun Mahathir Mohamad untuk menerajui dan memimpin negara ke arah yang lebih baik.

Hal ini kerana perlembagaan telah mengecualikan Peguam Negara dari syarat seperti itu. Tanggungjawab Peguam Negara adalah sebagaimana yang dinyatakan di bawah Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, dan melaksanakan apa-apa tugas-tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang Di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri dan menunaikan fungsi yang diberikan kepadanya oleh atau di bawah Perlembagaan ini atau mana – mana undang-undang yang bertulis yang lain.

Kuasa Peguam Negara turut dijelaskan di dalam Perlembagaan melalui Perkara 145(3) iaitu Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi suatu kesalahan selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

Perkara 145(3) menghalang Peguam Negara dari mengendalikan prosiding yang melibatkan kes di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tentera. Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa atau peranan yang melibatkan perkara Syariah. Semua orang bersetuju bahawa Raja mesti mempunyai penasihat syariah yang terbaik iaitu yang pakar dalam bidang syariah. Namun adakah Peguam Negara sebelum ini seorang yang pakar dalam syariah? Adakah Gani Patail seorang yang pakar dalam bidang syariah mahupun Apandi? Tapi mengapa tiada seorang pun yang membangkang sebelum ini?

Sudah jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Peguam Negara tidak boleh mencampuri urusan berkaitan Mahkamah Syariah, namun mengapa kini Peguam Negara diminta untuk menasihatkan sesuatu yang jelasnya bukan di bawah bidang kuasanya?

Individu yang menasihat YDPA berkenaan Undang-Undang Syariah tidak boleh merupakan hakim yang telah bersara

Hujahan seterusnya adalah sama ada Peguam Negara mestilah  seorang yang masih berkhidmat atau telah bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan, dengan cara itu beliau boleh memberikan nasihat Undang-undang mengenai perkara Syariah. Terdapat peruntukan yang jelas di dalam Perlembagaan untuk menjelaskan  perkara ini.

Selain menggariskan tentang peranan dan kuasa Peguam Negara, Perlembagaan telah melangkah lebih jauh ke hadapan. Mahkamah sekular, iaitu Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, adalah bukan mahkamah syariah (Perkara 121) mentakrifkan Mahkamah Sekular).

Perlembagaan secara jelas menghalang mahkamah sekular untuk campur tangan dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Fasal (1A) menyatakan: ‘Mahkamah yang disebut dalam Fasal (1)(‘mahkamah sekular’) tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara di dalam bidang kuasa mahkamah syariah.’

Sistem kehakiman syariah berfungsi di bawah undang-undang yang berbeza yang mempunyai Mahkamah, Hakim dan peguam yang spesifik dalam bidang syariah. Mereka merupakan badan kehakiman yang bebas dan tersendiri. Oleh itu, jika nasihat Undang-undang syariah diperlukan, YDPA mempunyai sumber syariah yang mencukupi.

Justeru, bagaimanakah seorang Peguam Negara boleh dipilih dari kalangan mereka yang bersara atau masih bertugas di Mahkamah Persekutuan Sekular atau Mahkamah Rayuan sekular? Kerana mereka tiada kuasa untuk menangani perkara Syariah. Tanpa mengira bangsa atau agama mereka, mereka sememangnya tidak pernah memperolehi latihan Undang-undang dalam bidang syariah. Jadi mengapa perlu memilih mereka dari kalangan yang tiada pengetahuan Undang-undang dalam bidang syariah?

Jadi hujahan yang mengatakan bahawa Peguam Negara mesti berkebolehan untuk memberi nasihat dalam bidang syariah adalah tidak relevan.

Apakah keperluan yang harus dimiliki oleh calon Peguam Negara?

Persoalan berikutnya ialah siapakah yang boleh dilantik sebagai Peguam Negara? Jawapannya ada pada Perkara 145(1) yang memperuntukkan bahawa: ‘Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang layak menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan’.

Siapakah yang dimaksudkan dengan ‘seorang yang layak menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan? Perkara ini telah dijelaskan dalam Perkara 123 yang memperuntukkan bahawa calon Peguam Negara mestilah (a) seorang warganegara dan (b)bagi tempoh 10 tahun sebelum pelantikannya dia telah menjadi ‘peguambela’ atau menjadi ‘anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan’ (ini adalah berbeza dengan hakim di mahkamah), atau gabungan kedua-duanya.

Seorang Peguam Negara tidak semestinya seorang Hakim Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan. Beliau hanya perlu menjadi seorang yang layak untuk menjadi Peguam Negara.

Dari sumber manakah anda akan memilih Peguam  Negara, sekiranya diberi pilihan?

Seterusnya, timbul soalan dari sumber manakah Peguam Negara harus dipilih jika diberi pilihan? Kita perlu mengkaji sumber-sumber yang sedia ada pada Perdana Menteri untuk tujuan pemilihan Peguam Negara.

Katakanlah terdapat 1,800 peguam di Jabatan Peguam Negara dan anggaran lebih kurang 500 peguam di Jabatan Peguam Negara telah melepasi tahap ‘10 tahun berkhidmat’ (jumlah ini boleh jadi lebih kurang dari anggaran ini). Maka, lebih kurang 500 orang yang layak untuk menjadi Peguam Negara.

Kini, Majlis Peguam mempunyai 10 kali lebih ramai peguam berbanding Jabatan Peguam Negara. Setakat ini jumlahnya adalah melebihi 18,000 ahli. Daripada jumlah 18,000 ahli,  mungkin terdapat 9,000 orang peguam yang telah melebihi tempoh perkidmatan selama 10 tahun.

Cuba beralih kepada badan kehakiman di mana jumlah Hakim di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan tidak mungkin melebihi 45.

Ada sumber yang mengatakan sebahagian besar iaitu 90 peratus hakim tersebut berasal dari Jabatan Peguam Negara. Sebagai pilihan, dari manakah anda akan pilih Peguam Negara ? Dari jumlah besar seramai 9,000 ahli Majlis Peguam atau 500 peguam dari Jabatan Peguam Negara, atau 45 hakim dari Badan Kehakiman yang sudah dilantik sebelum ini dan kini pemilihan mereka dipertikaikan?

Kesamarataan calon tanpa mengira kaum

Hujahan yang keenam, Perlembagaan menegaskan hak kesamarataan sebagai terasnya (Perkara 8 Perlembagaan), yang jelas tidak menghalang seorang yang bukan berbangsa Melayu untuk dilantik sebagai Peguam Negara. Sekiranya nenek moyang kita memikirkan isu perkauman adalah penting, sudah tentu mereka telah memasukkannya ke dalam Perlembagaan dan ianya akan bertentangan dengan semua konvensyen hak asasi manusia yang sedia wujud. Mereka tidak berbuat demikian kerana mereka adalah orang yang berfikiran munasabah dan berpandangan jauh. Oleh itu, mengapakah konvensyen yang tidak wujud dan yang bertentangan dengan hak asasi manusia ini perlu dimanipulasikan dalam pelantikan Peguam Negara?

Oleh hal yang demikian, tidak ada isu kekangan perkauman di dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka, hujahan bahawa Peguam Negara haruslah  berbangsa Melayu adalah tidak relevan.

YDPA harus melantik

Perkara 145(1) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong ‘hendaklah’, atas nasihat Perdana Menteri, melantik Peguam Negara yang dicadangkan oleh Perdana Menteri.

Perkataan ‘hendaklah’ dalam Perkara 145(1) adalah mandatori. Cadangan Perdana Menteri yang bersifat mengikat diterangkan dalam Perkara 40(1A) yang menyatakan bahawa menyatakan Agong dalam keadaan sedemikian hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dan tiada ruang untuk baginda menggunakan budi bicaranya. Frasa ‘hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat ‘ adalah mandatori.

Isu Manifesto

Hujahan ketujuh adalah berkenaan pelantikan Peguam Negara oleh Tun Mahathir yang menyimpang daripada manifesto Harapan yang memperuntukkan bahawa Peguam Negara hendaklah seorang ahli Parlimen.

Seperti yang dihujahkan sebelum ini, Peguam Negara perlu menjadi ahli Parlimen untuk bertanggungjawab kepada rakyat menerusi Parlimen dan untuk tujuan ini Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda. Jawantankuasa Pembaharuan serta pihak –pihak yang bertanggunjawab sedang berusaha untuk menyediakan pelbagai kertas kerja bagi  mencadangkan pindaan ini pada masa yang sesuai.

Sehingga perubahan dibuat, undang-undang yang sedia ada mesti dipatuhi tanpa sebarang percanggahan. Walaubagaimanapun, terdapat penyelesaian sementara dalam  Perlembagaan Persekutuan menerusi  Perkara 61 yang menyatakan bahawa Parliamen boleh melantik Peguam Negara untuk menganggotai mana-mana jawantankuasanya walaupun Peguam Negara tidak terdiri daripada ahli Parlimen.

Ini jelas bahawa Parlimen selepas bersidang boleh meminta Peguam Negara untuk dilantik dalam Majlisnya untuk tujuan meminta Peguam Negara menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dalam Majlis. Melalui cara ini, Peguam Negara boleh diletakkan di bawah naugan Parlimen. Dengan ini, dakwaan bahawa ‘Harapan telah melanggar Manifestonya’ boleh dibangkang.

Parlimen mempunyai hak untuk membantah arahan YDPA dalam perkara eksekutif

Agong mempunyai kuasa eksekutif terhadap Persekutuan. Walaubagaimanapun, kuasa tersebut bukan mutlak dan tertakluk kepada arahan Parlimen seperti dalam Perkara 39.

Pelantikan Peguam Negara menerusi undang-undang sedia ada  merupakan penggunaan kuasa eksekutif. Sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak bertindak atas nasihat Perdana Menteri, Perlembagaan memberikan kuasa kepada Parlimen untuk berbuat demikan. Dalam urusan pentadbiran, keutamaan Parlimen berakar umbi daripada Perlembagaan. Namun, kini parlimen belum bersidang dan bolehkah kita tunggu sehingga itu?

Kuasa Majlis Raja-Raja

Hujahan terakhir ialah samada Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa mutlak untuk membantah sebarang cadangan Perdana Menteri. Ini tidak benar dan kebenarnya adalah bahawa Majlis Raja-raja hanya mempunyai kuasa  budi bicara yang tertentu sahaja seperti dinyatakan dalam  Perkara 38.

Mereka mempunyai hak untuk dirujuk dalam perkara-perkara tertentu. Contohnya, dalam pelantikan raja, perkara yang berkaitan dengan kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu, agama Islam atau hak-hak orang Melayu di bawah Perkara  153 (rizab kuota dalam perkhidmatan, permit dan lain-lain, untuk orang Melayu).

Fasal 38 (2)(c) juga menyatakan bahawa Persidangan Raja-Raja hendaklah menjalankan fungsi perundingannya dengan cara – ‘… bersetuju atau menahan persetujuan terhadap mana-mana undang-undang dan membuat atau memberi nasihat tentang apa-apa pelantikan yang memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja di bawah Perlembagaan atau yang akan dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja ‘.

Sesetengah berpendapat bahawa Fasal (6) memberikan hak ibarat cek kosong kepada Majlis Raja-Raja dan  mengatakan bahawa ia adalah ‘hak mutlak’. Menurut Fasal (6) – ‘… anggota Persidangan Raja-raja boleh bertindak mengikut budi bicara mereka dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan fungsi-fungsi berikut, iaitu … (c) bersetuju atau menahan persetujuan kepada mana-mana undang-undang dan membuat atau memberikan nasihat tentang apa-apa pelantikan yang memerlukan persetujuan Persidangan Raja-Raja di bawah Perlembagaan atau dibuat oleh atau selepas berunding dengan Persidangan Raja-Raja itu’.

Dalam teori perlembagaan, prerogatif peribadi raja dikatakan bertentangan dengan demokrasi. Sekiranya Fasal 6 diteliti, kuasa peribadi ini tidak mutlak. Yang pertama, banyak kekuatan kuasa prerogatif ini telah dikurangkan oleh prinsip-prinsip perlembagaan. Kedua, fasal-fasal lain dalam Perlembagaan menghadkan penggunaan kuasa tersebut. Ketiga, ‘hak untuk berunding’ tidak bermaksud ‘hak mutlak untuk menolak.’ Oleh itu, Perlembagaan, telah dengan berhati-hati menyatakan bahawa Raja-Raja ‘boleh bertindak menurut budi bicara kebijaksanaan mereka. Budi bicara ini disebut ‘prerogatif diraja’. Blackstone menggambarkannya sebagai kuasa di mana ‘raja sahaja menikmatinya, berbanding dengan orang lain, dan bukan kuasa yang mana raja berkongsi bersama dengan mana-mana subjeknya.’ Jadi, ini adalah ‘prerogatif peribadi’.

Tetapi prinsip-prinsip yang mendasari pelaksanaan kuasa prerogatif ini telah diterimapakai tanpa sebarang percanggahan di serata dunia.   Fasal 6 digubal untuk membolehkan Raja-Raja melaksanakan budi bicara mereka, yang merupakan salah satu peruntukan yang paling asas dalam kedaulatan undang-undang: apabila budi bicara perlembagaan diberikan, ia tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya. Oleh itu, pelaksanaan kuasa ‘prerogatif peribadi’ tersebut mesti digunakan untuk mencapai prinsip kesamarataan, iaitu berakar umbi kepada dasar asas perlembagaan dan  tertakluk kepada ketelusan dan tadbir urus yang baik.

Kuasa ini tidak boleh dilaksanakan dengan sewenang-wenangnya untuk tujuan eksploitasi. Kuasa budi bicara tersebut mesti dilaksanakan untuk tujuan menegakkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Ayat-ayat dalam Perlembagaan mesti ditafsirkan untuk mematuhi semangat perlembagaan dan kehendak Rakyat.

Kesimpulan

Parlimen masih belum bersidang. Namun, seseorang diperlukan untuk menggalas jawatan sebagai Peguam Negara. Kertas pertuduhan perlu disiapkan untuk mengeret penjenayah ke muka pengadilan. Jemaah menteri sibuk menjawab beratus, mungkin beribu panggilan mustahak pada waktu tersebut. Ini terjadi ketika perihal ekonomi lebih memerlukan perhatian utama bagi Kerajaan menanganinya.

Sama ada berdasarkan kepada Manifesto atau tidak, Tun Mahathir mesti menghentikannya. Kabinet tidak boleh dibiarkan tergantung. Kesuntukkan masa memerlukan  Tun Mahathir untuk bertindak sekarang.

Mereka yang menangguhkan pelantikan Peguam Negara sebenarnya merugikan usaha seorang warga tua patriotik yang cuba memperbetulkan pemerintahan  negara yang telah tersasar hala tuju.

Pengkritik-pengkritik ini mendapat naugan dalam tangan pengkhianat yang telah mencuri dari tabung dana kita tanpa melakukan apa-apa. Mereka membangkitkan krisis perlembagaan satu demi satu, dan mencetuskan kegelisahan dan melengahkan masa untuk tujuan melindungi diri mereka. Itulah sebabnya mereka menangguhkan pelantikan Peguam Negara. Mereka ingin berasa selamat. Mereka fikir PRU 14 adalah kemenangan yang kejam. Mereka merasakan mereka tidak dapat disentuh.

Mereka mesti dihentikan. Sebagai satu bangsa, kita tidak boleh berdiam diri, sementara membiarkan pengkritik-pengkritik ini mematikan semangat rakyat dalam kemenangan yang sengit.

 

 

You May Also Like

Is the King’s power to grant a pardon, ‘personal’ and ‘absolute’?

THE RISE AND RISE OF THE ASIAN INTERNATIONAL ARBITRATION CENTRE

The Gopal Sri Ram I knew

Why do Malaysian Ministers refuse to go on leave, or better still, resign, when their character in public office is called into question?